IPOH: Seorang lelaki warganegara Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup tujuh orang migran rakan senegaranya, bulan lalu.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Zaw Zaw Aung, 35, terpaksa ditangguhkan kerana tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pelantikan jurubahasa Myanmar.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan penyeludupan tujuh orang migran warganegara Myanmar di Kilometer 261.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Terowong Menora, Ipoh, kira-kira 12 tengah hari, 13 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan kerana tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak menawarkan sebarang jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S S Pavitra manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu di Mahkamah Majistret Ipoh, tertuduh turut didakwa tinggal di Malaysia tanpa memiliki paspot atau sebarang dokumen perjalanan sah pada jam, waktu, dan tarikh yang sama seperti pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen.
Majistret S Punitha turut menangguhkan prosiding kerana tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak melebihi enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





