Masih ramai pengusaha nasi kandar belum memiliki sijil halal – Presma

Berita Perak

IPOH: Masih ramai kalangan pengusaha nasi kandar di seluruh negara yang beranggapan bahawa mereka tidak memerlukan sijil halal kerana beragama Islam.

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk mengubah mentaliti sedemikian di kalangan ahli-ahli.

Menurutnya, sijil halal bukan sekadar pengiktirafan untuk status halal, sebaliknya memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap aspek kebersihan, kesucian dan keselamatan makanan.

“Sekarang ini kita nampak mereka yang bukan Islam lebih ramai memohon sijil halal berbanding orang Islam.

“Justifikasi kita ialah kita orang Islam, jadi tidak perlu ada sijil halal sedangkan kita kena faham, sijil halal ini bukan bermakna kita jual makanan haram tetapi lebih kepada aspek kebersihan, kesucian dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Kesedaran Halal bagi Pengusaha Nasi Kandar Negeri Perak di Auditorium Saidina Umar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini hari ini.

Seminar yang disertai lebih 130 peserta itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Mengulas lanjut Mohamed Mosin beliau berkata, antara kebimbangan pengusaha untuk memohon sijil halal ialah sijil tersebut akan digantung sekiranya berlaku sebarang kesalahan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, perkara itu perlu dilihat berdasarkan tahap kesalahan yang dilakukan dan tindakan hanya akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran yang bersifat serius.

Dalam pada itu, beliau berkata, Presma mempunyai kira-kira 3,200 ahli di seluruh negara dan akan terus menggalakkan lebih ramai pengusaha mendapatkan sijil halal dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sebahagian ahli sudah memiliki sijil halal dan kita akan terus berusaha menggalakkan lebih ramai ahli memohon sijil berkenaan.

“Kita menyasarkan dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah pengusaha yang memiliki sijil halal dapat ditingkatkan dengan ketara,” katanya.

Ends.