Vandalisme infrastruktur telekomunikasi: Perak mahu telko turut bertanggungjawab

Berita Perak

IPOH: Perak sedang merangka garis panduan baharu bagi memastikan syarikat telekomunikasi turut sama bertanggungjawab menjaga infrastruktur milik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan NGO, Mohd Azlan Helmi berkata, garis panduan itu akan dibentangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diperhalusi.

Menurutnya, garis panduan itu selari dengan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menangani isu vandalisme dan sabotaj infrastruktur telekomunikasi yang semakin membimbangkan di negeri ini.

“Selain tindakan lebih tegas terhadap pelaku vandalisme, kita mahu telko turut bertanggungjawab menjaga infrastruktur milik masing-masing dengan lebih baik.

“Kita akan berbincang jika mereka gagal untuk menjaga harta mereka sendiri, mungkin kita akan kenakan tindakan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Digital Perak Corporation Holdings bersama Cyber Security Malaysia (CSM) dan Novus Transact (Malaysia) Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Mohd Azlan berkata, garis panduan itu perlu agar pihak telko tidak sahaja berharap kepada pihak kerajaan negeri untuk membantu, sebaliknya mereka juga perlu membantu dengan memperkemas sistem keselamatan masing-masing.

Dalam masa sama, ujarnya, Perak juga mungkin akan meminta sedikit lebihan peruntukan dari segi keselamatan ataupun prosedur untuk diperkemaskan lagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga Jun 2026, sejumlah 310 kes kecurian kabel dan vandalisme terhadap rangkaian telekomunikasi telah direkodkan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 125 kes telah dituduh, manakala 67 kesdimaklumkan telah dibuka kertas siasatan dibawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Mengenai MOU yang ditandatangani bersama Cyber Security Malaysia, Mohd Azlan berkata, ia bertujuan bagi memperkasakan keselamatan siber dan ketahanan data sebagai persediaan awal penubuhan Pusat Kawalan Utama (Command Centre) Negeri Perak.

Katanya, kerjasama selama dua tahun itu turut meneroka keperluan Security Operations Centre as a Service (SOCaaS) serta pembangunan keupayaan keselamatan siber secara lebih tersusun, dengan sasaran melibatkan 1,000 hingga 1,500 peserta dan 15 hingga 25 organisasi di seluruh Perak.  

“Kerjasama bersama Cyber Security Malaysia diunjurkan melibatkan nilai program indikatif sekitar RM1.5 juta, merangkumi pelbagai inisiatif kesedaran, latihan, pensijilan, penilaian dan pengukuhan kapasiti keselamatan siber,” ujarnya.  

Sementara itu, katanya, MOU bersama Novus Transact (Malaysia) Sdn. Bhd. pula memberi tumpuan kepada pemerkasaan PMKS, dengan memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu perniagaan tempatan meningkatkan produktiviti serta mengembangkan pasaran.  

Menurutnya, program akan dimulakan dengan 200 PMKS sebagai kumpulan perintis sebelum diperluas secara berperingkat dengan sasaran sehingga 7,000 PMKS secara kumulatif dalam tempoh empat tahun.  

Katanya, antara komponen utama program termasuk peluasan etalase digital dan platform e-dagang, pembayaran digital, alat peningkatan produktiviti serta sokongan pelanggan berasaskan AI, selain pembangunan Perak MSME Growth Index bagi mengukur perkembangan PMKS secara lebih tersusun.  

Ends.