Wanita dakwa dua anak dibuli di sekolah sama

Berita Perak

IPOH: Seorang wanita mendakwa dua orang anak lelakinya dibuli di sebuah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di Chemor pada Julai dan Ogos lalu.

Noor Azwani Ahamad, 43, mendakwa anak sulongnya yang belajar di Tingkatan 6 ditampar sebanyak enam kali, selain diugut tumbuk oleh seorang guru ketika peperiksaan sedang berjalan pada 21 Julai manakala anak keduanya yang berada di Tingkatan 5 pula disepak dan ditumbuk seorang pelajar lain, di koridor tingkat 3 asrama, kira-kira jam 11 malam, pada 5 Ogos lalu.

Pegawai Penilai Pusat Penilaian TVET itu mendakwa, akibat perbuatan guru tersebut, tulang rahang bawah anaknya sulongnya terkeluar dan sakit selain mengeluarkan bunyi apabila membuka mulut.

“Lepas tu dia tak dapat jawab periksa. Masa dalam peperiksaan pukul 8 pagi tu, dia kebingungan, tak boleh jawab kertas periksa tersebut dan STAM ni sangat pentinglah pada anak saya.

“Jadi kesan daripada situ rahang dia sakit, tak boleh jawab periksa, saya sangat tidak berpuas hati,” katanya dalam sidang media di Tanjung Rambutan, hari ini.

Noor Azwani berkata, anaknya ditampar kononnya kerana membawa telefon bimbit sedangkan setahunya pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibenarkan berbuat demikian untuk tujuan kertas kerja projek sekolah.

Menurutnya, anak keduanya pula mengalami luka di dahi kerana terkena besi alat pemadam api selain sebatang gigi pecah ketika cuba mengelak daripada rambutnya dibotakkan.

“Saya rasa sangat trauma, perasaan geram terhadap si pembuli tu tinggi lah.

“Saya rasa macam saya kena pukul, saya kena tampar, saya ingat macam dia (anak kedua) kan, saya ingat kes adik Zara Qairina (Mahathir), kalau dia tak pertahankan dengan alat pemadam api tu, jatuh (dari) tingkat 3, siapa nak jawab,” katanya dengan nada kesal.

Katanya, ekoran kejadian itu, kedua-dua anaknya tidak lagi tinggal di asrama, sebaliknya dihantar ke sekolah setiap hari.

Menurut Noor Azwani, dia dan anak-anaknya telah membuat laporan polis berharap agar tindakan dapat diambil terhadap guru dan juga pelajar yang terlibat.

Menjelaskan lanjut mengapa mengambil masa lama untuk membuat pendedahan, ujarnya, sebagai ibu tunggal, dia hilang punca dan tidak tahu hendak berbuat apa sehingga tempat mengadu tetapi mendapat nasihat daripada seorang peguam selepas terbaca di media.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah mengesahkan menerima dua laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ends.