Fun Walk sempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia

Berita Perak

IPOH: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) UTC Perak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan menganjurkan ‘fun walk’ sempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia pada 18 Oktober depan.

Pengerusi PAWE UTC Perak, Datuk Tan Lian Hoe berkata, program itu akan diadakan di Taman DR Seenivasagam Ipoh, bermula seawal jam 6.30 pagi.

Menurutnya, program itu dijangka dihadiri sehingga 1,000 peserta yang terdiri daripada warga emas, generasi muda, kanak-kanak, ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai mereka.

“Tujuan kita adakan program ini ialah supaya adanya inter generasi untuk warga emas sebab kita tahu bahawa yang muda itu akhirnya akan melalui hari-hari tua mereka kelak,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Beliau berkata, yuran penyertaan program ini ialah RM35 seorang dan peserta akan diberi kemeja T, beg goodies serta wrist band dan mereka juga layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti peralatan elektrik dan basikal.

Menurut Lian Hoe, aturcara program bermula dengan pendaftaran peserta mulai jam 6.30 pagi, diikuti senaman untuk memanaskan badan sebelum ‘fun walk’ pada 8 pagi.

“Kita ada adakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tahan 1 yang berumur 4 – 5 tahun dan tahap 2 yang berumur 6 – 7 tahun dan mereka dikehendaki membawa peralatan mewarna sendiri,” ujarnya.

Katanya, majlis perasmian akan bermula jam 9 pagi yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Datuk Salbiah Mohamed.

Tambahnya, pelbagai aktiviti telah diatur sempena majlis perasmian seperti senamrobik, zumba, line dance, telematch untuk warga emas dan generasi muda, cabutan bertuah serta meneka jumlah kacang atau gula-gula.

“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan adalah untuk berseronok kerana kita mahukan warna emas sentiasa gembira bersama ahli keluarga,” katanya.

Selain itu, ujarnya, terdapat juga perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, energy healing, fisioterapi serta pemeriksaan kaki selain gerai jualan makanan, minuman, mainan dan lain-lain.

“Kita harap akan program jalan santai ini akan mendapat penyertaan daripada pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur,” katanya.

Lian Hoe berkata, peserta boleh meletakkan kenderaan mereka di Sekolah Kebangsaan Coronation Park, Medan Istana, kawasan
Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh serta kawasan berhampiran.

“Kita akan tutup kawasan taman bermula jam 7.30 pagi dan peserta boleh datang lebih awal daripada itu atau meletakkan kenderaan di kawasan yang terdapat di luar kawasan taman,” tambahnya.

Menurut beliau, mereka yang ingin mengambil bahagian boleh mengimbas QR yang disediakan dan segala pertanyaan boleh menghubungi nombor telefon yang disediakan.

Ends.