Deepavali: Azrin Kadiri santuni golongan kurang berkemampuan, seru pesakit diabetes jaga kesihatan

Berita Perak

IPOH: Sempena sambutan Deepavali, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Azrin Kadiri, meluangkan masa mengunjungi kediaman beberapa keluarga kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan perayaan.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menasihati pesakit diabetes supaya sentiasa memberikan perhatian terhadap tahap kesihatan dan mengamalkan penjagaan diri secara konsisten.

Antara keluarga yang dikunjungi ialah keluarga Sridharan Krishnan di Taman Klebang Jaya, Tambun, yang merupakan pesakit diabetes sehingga kehilangan kedua-dua belah kaki akibat penyakit berkenaan.

Azrin yang bertemu sendiri dengan Sridharan turut bertanyakan khabar serta perkembangan kesihatannya, selain menyampaikan ucapan selamat menyambut Deepavali dan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Menurut beliau, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu terus mengekalkan semangat perpaduan serta saling mengambil berat antara satu sama lain.

“Ketika musim perayaan Deepavali, golongan kurang berkemampuan tidak seharusnya dilupakan. Kita perlu sentiasa menghulurkan bantuan dan menunjukkan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan.

“Pada masa sama, pesakit diabetes perlu menjaga kesihatan dengan baik, termasuk mengawal pemakanan, mengambil ubat mengikut jadual serta mematuhi nasihat doktor.

“Langkah penjagaan kesihatan yang betul amat penting bagi mengelakkan keadaan penyakit menjadi lebih serius, sekali gus mengurangkan beban yang ditanggung oleh pesakit, ahli keluarga dan orang di sekeliling mereka,” katanya.