Lelaki maut ditetak selepas diserang tiga lelaki di Teluk Intan

Berita Perak

TELUK INTAN: Seorang lelaki maut ditetak dengan parang selepas diserang tiga lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah kedai di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP, Chua Kok Lian berkata, Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah menerima panggilan daripada orang awam melalui talian kecemasan 999 berhubung kejadian itu, kira-kira jam 3.53 petang.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan
bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan
akibat kecederaan parah yang dialami oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati, mangsa telah diserang oleh tiga lelaki bangsa tidak pasti, menggunakan parang.

Bagaimanapun, katanya, motif kejadian masih dalam peringkat siasatan.

Menurutnya, seorang wanita warga tempatan berumur 27 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu, termasuk maklumat mengenai pergerakan individu atau kenderaan yang mencurigakan di sekitar lokasi kejadian, supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Hilir Perak di talian 05-629 9222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan orang ramai dsupaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan
maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan.

Ends.