Kerian Industrial City (KIC) di Dennistown, Perak dijangka mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan menerusi pembangunan kawasan perindustrian seluas 116.14 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM700 juta.
Pembangunan itu dijangka membuka ruang kepada kemasukan pelaburan baharu, selain menyediakan peluang kepada pengusaha industri, penyedia perkhidmatan sokongan dan perusahaan tempatan untuk mengembangkan operasi di daerah Kerian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan KIC merupakan antara langkah strategik untuk memperkukuh kapasiti ekonomi Kerian dengan memperluas aktiviti daripada sektor pertanian kepada industri bernilai tinggi.
Menurut beliau, pembangunan tersebut juga perlu memastikan pertumbuhan sektor perindustrian memberi manfaat secara langsung kepada penduduk dan perusahaan tempatan.
“Sudah tiba masanya untuk Kerian memperkasa kekuatan ekonominya dan beralih daripada sektor pertanian kepada industri bernilai tinggi.
“KIC bukan sekadar pembangunan perindustrian, tetapi menjadi pemangkin pelaburan, mencipta peluang ekonomi seterusnya mewujudkan kemakmuran kepada rakyat selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk membina negeri yang maju, berdaya saing dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, KIC dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dijangka memainkan peranan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem perindustrian yang lebih bersepadu dan berdaya saing di daerah berkenaan.
“Pertumbuhan ini perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan peluang perniagaan yang lebih luas kepada perusahaan tempatan,” katanya.
Proses pengambilan tanah bagi pembangunan KIC telah selesai dan projek itu turut memperoleh kelulusan Kebenaran Merancang (KM).
Pembangunan tersebut dijangka memperluas kapasiti perindustrian Kerian, melengkapi kawasan perindustrian sedia ada termasuk Kawasan Perindustrian Parit Buntar serta menyediakan ruang bagi kemasukan dan pengembangan industri baharu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, kedudukan KIC berhampiran beberapa institusi pendidikan dan latihan turut berpotensi menyokong keperluan tenaga kerja industri.
Ujarnya, KIC terletak kira-kira enam kilometer dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), 9.3 kilometer dari Institut Kemahiran Tinggi PERDA dan 15.6 kilometer dari Kolej Vokasional Kerian.
“Kedudukan strategik ini membuka peluang luas untuk kerjasama industri dalam pengambilan jurutera, tenaga kerja teknikal dan pelatih industri, selain pelaksanaan penyelidikan gunaan bagi memenuhi keperluan sektor swasta.
“Kerjasama antara pemain industri dan institusi pendidikan juga penting bagi membolehkan lebih ramai tenaga kerja tempatan membina kerjaya di Perak,” uujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Asia Bina Group, Datuk Yong Chai Seng berkata, impak KIC tidak hanya bergantung kepada jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk, sebaliknya turut perlu dinilai berdasarkan penglibatan perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan industri.
“Kejayaan KIC bukan sekadar diukur berdasarkan keupayaannya menarik pelaburan, tetapi juga sejauh mana pembangunan ini membuka peluang kepada vendor, pembekal, kontraktor dan perusahaan tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri.
“Melalui kerjasama erat antara semua pihak, kita mahu memastikan perusahaan tempatan berpeluang mengembangkan kapasiti dan keupayaan mereka, sekali gus membolehkan manfaat pembangunan ini dinikmati secara berterusan oleh masyarakat setempat,” katanya.
Pertumbuhan kawasan perindustrian di utara Perak turut dijangka disokong perancangan jajaran jalan baharu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang akan menghubungkan susur keluar Tol Bandar Baharu terus ke KIGIP. – UTUSAN





