IPOH: Polis menerima 73 laporan dibuat terhadap seorang kakitangan awam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang dikaitkan dengan kes penipuan perancang perkahwinan (wedding planner) yang mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek lelaki berusia 31 tahun itu sudah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah pada 8 September lalu, selain berdepan tindakan dalaman termasuk ditahan kerja.
Tanpa memperincikan seksyen tuduhan yang dihadapi suspek sewaktu di mahkamah, Mohd Alwi berkata, sementara bagi laporan lain, ia diserah untuk tindakan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), memandangkan laporan dibuat sebelum majlis perkahwinan yang dijanjikan, berlangsung.
“Secara keluruhan, ada 73 laporan polis berkaitan dengan perkara ini, Bagaimanapun sesudah dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya, diputuskan untuk membuat satu pertuduhan ke atas suspek ini.
“Memang ada banyak laporan, tetapi semua laporan itu juga dirujuk kepada tribunal pengguna untuk diambil tindakan. Ia kerana majlis (perkahwinan) belum berjalan lagi sewaktu laporan-laporan itu dibuat.
“Dia masih bertugas tapi kita dalam proses untuk buat tindakan dalam jabatan untuk tahan kerja dan sebagainya,” katanya pada sidang media di IPK Perak, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Alwi ditanya mengenai hantaran tular di laman sosial berkaitan perkara itu yang mengaitkan penjawat awam yang bertugas sebagai kerani di IPK Perak itu dengan penipuan ‘wedding planner’ menyasar bakal pengantin, mengakibatkan kerugian keseluruhan RM1 juta.
SUMBER – BERITA HARIAN





