Polis tahan lima individu bantu siasat kematian penghuni rumah jagaan di Tanjung Rambutan

Berita Perak

IPOH: Polis Daerah Ipoh menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang penghuni rumah jagaan di Tanjung Rambutan di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin memaklumkan, pihaknya menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan kira-kira jam 2 petang berhubung kematian lelaki tempatan berumur 54 tahun itu.

Menurutnya, sepasukan polis telah ke lokasi dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan pada Rabu untuk menentukan punca kematian sebenar.

Mohd Alwi berkata, lima individu yang ditahan bagi membantu siasatan terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni rumah jagaan berkenaan.

Menurutnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta peranan setiap individu yang terlibat.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kes itu kerana boleh mengganggu siasatan.