IPOH: Dua orang pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas 25 pertuduhan memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0.
Tertuduh, Neo Woi Lee, 50 dan Shareen Noordin David Noordin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas dibaca di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Pemilik bersama syarikat kontraktor pembersihan itu didakwa atas tujuh pertuduhan bersama-sama dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat Century Super Solution yang dilampirkan di dalam permohonan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 PERKESO, yang mengandungi pernyataan palsu tentang butiran matan, dan yang dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Centry Super Solution, di Lorong Chengal, Taman Sunlight, Ipoh antara 26 Mei 2024 hingga 26 Ogos 2024.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu yang dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Shareen Noordin turut didakwa sembilan lagi pertuduhan serupa di atas nama syarikat SN Super Clean Solution di alamat sama antara 31 Mac 2024 hingga 4 September 2024.
Bagi semua pertuduhan, ibu tunggal itu didakwa di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Neo Woi Lee pula didakwa sembilan pertuduhan bersubahat dengan Shareen Noordin atas kesalahan sama di atas nama syarikat SN Super Clean Solution di alamat sama antara 31 Mac 2024 hingga 4 September 2024.
Dia didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama seksyen 18 Akta sama yang boleh dihukum di bawah
Seksyen 24(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu yang dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 10 Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz berkata, tatakelola sistem antipenipuan dan risikan dalaman menjadi faktor utama terbongkar tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya yang dikesan sejak penghujung 2024.
Menurutnya, maklumat risikan terperinci itu melibatkan 426 majikan yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan sebelum diserahkan kepada SPRM pada Ogos 2025.
Ends.





