IPOH – Kelab Active Tanker Malaysia terus memperkukuhkan hubungan dalam kalangan ahlinya menerusi pelbagai aktiviti rekreasi, kebajikan dan pelancongan sejak penubuhannya pada Ogos 2024.
Presiden Kelab Active Tanker Malaysia, Ng Kar Seong, berkata, kelab yang kini menghampiri usia tiga tahun itu telah menghimpunkan kira-kira 100 ahli dari seluruh negara termasuk Johor, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan beberapa negeri lain.
Menurut beliau, antara aktiviti yang dianjurkan ialah perkhemahan, berkelah, pendakian bukit serta lawatan ke perkampungan Orang Asli yang turut disertai dengan program kebajikan.
“Kami bukan sahaja menjalankan aktiviti rekreasi, malah turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli seperti bantuan kewangan, pakaian, buku dan makanan hasil kutipan daripada semua ahli kelab,” katanya.
Beliau berkata, matlamat utama penubuhan kelab adalah untuk memupuk semangat perpaduan, mengeratkan persefahaman dalam kalangan ahli serta menarik lebih ramai penyertaan melalui aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan.
Tambahnya, kelab itu turut menganjurkan program jelajah atau road trip ke beberapa negeri termasuk Johor, Pulau Pinang dan Perak bagi memperkenalkan destinasi pelancongan yang kurang dikenali kepada masyarakat.
“Di Perak misalnya, kami memilih lokasi pelancongan yang tidak begitu popular untuk diketengahkan kepada orang ramai agar lebih ramai mengetahui keunikan tempat-tempat tersebut,” ujarnya.




Menurut Ng, kebanyakan ahli hadir bersama keluarga, sekali gus menjadikan setiap program sebagai aktiviti yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Kami menggalakkan ahli membawa pasangan dan anak-anak supaya mereka dapat menikmati aktiviti yang sihat dan memberi manfaat kepada seluruh keluarga,” katanya.
Beliau berkata, kelab akan meneruskan penganjuran pelbagai aktiviti di seluruh Malaysia sepanjang tahun ini sebelum merancang untuk mengembangkan jaringan ke peringkat antarabangsa.
“Mulai tahun depan, kami menyasarkan untuk menganjurkan program pertama di Thailand sebagai permulaan bagi menghubungkan pemilik kenderaan Active Tanker dari seluruh Asia Tenggara,” katanya.





