Polis berkas tujuh anggota sindiket edar dadah tumpu pusat hiburan

Berita Perak

IPOH: Polis menahan tujuh anggota sindiket pengedaran dadah, termasuk pasangan suami isteri, yang dipercayai menumpukan kegiatan di pusat hiburan, dalam empat serbuan di Ipoh dan Tapah pada Selasa dan Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek, masing-masing lima lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 22 hingga 44 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Ipoh dan dua buah rumah di Tapah.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ipoh dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Perak turut merampas dadah jenis MDMA atau ekstasi dan ketamin dianggarkan lebih setengah juta ringgit di samping tiga buah kereta bernilai RM224,000 dan wang tunai bercampur-campur bernilai RM32,376.

“Nilai anggaran keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM794,827.

“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh merosakkan seramai 23,332 orang yang menggunakannya.

“Kegiatan yang dilakukan oleh suspek-suspek ini dipercayai aktif Jun hingga Ogos 2026 dan modus operandi yang digunakan adalah menjadikan pusat hiburan sebagai tempat penjualan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak, Ketua Polis Daerah Taiping dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Daerah Taiping di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, hari ini.

Mohd Alwi berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala lima lagi negatif dadah.

Menurutnya, suspek-suspek direman tiga dan empat hari dan hasil semakan mendapati enam suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.