IPOH: Punca kematian seorang penghuni sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan pada Selasa adalah disebabkan kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, penemuan punca itu diperolehi hasil bedah siasat yang dijalankan pakar perubatan forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Rabu.
Menurutnya, susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan lima orang lelaki tempatan terdiri daripada empat orang penghuni dan seorang penjaga yang berumur dalam lingkungan 35 tahun hingga 55 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berlaku pada malam 3 Ogos 2026 apabila mangsa dikatakan berkelakuan agresif dan mengganggu penghuni lain.
“Seorang penjaga dipercayai mengarahkan mangsa diikat sebelum beberapa penghuni bersama penjaga tersebut bertindak memukul serta memijak mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak, Ketua Polis Daerah Taiping dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Daerah Taiping di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 5 Ogos 2026 sehingga 8 Ogos 2026 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, semakan awal mendapati pusat jagaan itu telah beroperasi sejak tahun 2012 dan hanya mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau SSM.
Ujarnya, setakat ini tiada dokumen dikemukakan yang menunjukkan premis berkenaan mempunyai pendaftaran atau lesen pengoperasian yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mahupun surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pihak polis sedang melengkapkan siasatan dari semua aspek termasuk merakam percakapan saksi serta berhubung rapat dengan agensi-agensi berkaitan.
Menurut Mohd Alwi, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang lain terhadap pengusaha atau pengurusan pusat jagaan itu, tindakan wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang.





