PASIR SALAK: Kejayaan mendominasi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu membuktikan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ternyata berkesan mempengaruhi pengundi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kejayaan itu sangat luar biasa kerana berjaya memecahkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) selama dua penggal sebelum ini.
Menurutnya, Pemuda UMNO yakin formula kerjasama itu boleh diteruskan pada pilihan raya akan datang, termasuk dari segi pembahagian kerusi.


“Macam contoh di Negeri Sembilan, kita buat keputusan negeri untuk bertanding keseluruhan kerusi tetapi akhirnya yang kita bertanding adalah sebanyak 25 kerusi.
“Apabila kita timbang baik buruk maka kita ambil keputusan bertanding 25 dan alhamdulillah kita membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua per tiga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak Tahun 2026 di Dewan Besar FELCRA Changkat Lada, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Khairul Azwan Harun.
Jelasnya, pemilihan calon dibuat di tiga peringkat iaitu bahagian, negeri dan pusat.


“Kita ada tiga peringkat yang buat keputusan dan keputusan itu semua akan diperhalusi dan apa yang terbaik akan kita putuskan bersama.
“Jadi pendirian masing-masing punya bahagian kita hormat sebab itulah pendirian mereka tapi apa sekalipun dalam sebagai ahli parti kita akan akur dengan keputusan yang telah kita buat,” ujarnya.
Beliau mengulas sama ada formula di Negeri Sembilan boleh digunakan di negeri-negeri lain, termasuk Perak yang menyaksikan BN hanya memiliki kerusi yang jauh lebih sedikit berbanding PN.
Pada PRN-15, BN Perak hanya memenangi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 26 yang dimenangi PN daripada keseluruhan 59 kerusi.
Pada PRN Negeri Sembilan, BN menang 18 kerusi manakala PN tujuh, sekaligus mencatatkan majoriti dua pertiga.





