Rumah Bangsa: 84 pemimpin, ahli PKR Sungai Manik mohon serta UMNO

Berita Perak

PASIR SALAK: Seramai 84 orang ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan yang disandang, berkuat kuasa serta merta.

Wakil kumpulan itu, Ketua Ranting DUN Sungai Manik, Muhamad Safie Hamzah, berkata, mereka juga sepakat memutuskan hubungan dan persefahaman dengan parti dan kepimpinan PKR Cabang Pasir Salak.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mereka hilang kepercayaan kepada parti itu serta barisan kepimpinan yang ada.

“Keputusan keluar parti ini juga tidak didorang oleh mana-mana pihak, desakan atau sebarang unsur lain yang tidak sihat.

“Keputusan yang dibuat pada hari ini kami anggap sebagai sebahagian dari amalan demokrasi dan kebebasan dalam mengamalkan prinsip-prinsip politik yang diamalkan di negara ini,” katanya dalam sidang media khas di sini, semalam.

Muhamad Safie berkata, mereka turut memohon untuk menyertai UMNO, sebagai usaha penyatuan semula orang Melayu di Sungai Manik melalui gagasan Rumah Bangsa.

“Kami berharap agar permohonan untuk menyertai UMNO dapat dipertimbangkan dengan segera bagi memberikan ruang untuk kami menyumbang tenaga serta lain-lain perkara kearah memperkuatkan lagi UMNO bagi menghadapi pilihanraya yang akan menjelang, khususnya di DUN Sungai Manik ini,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Nazari Sabran berkata, pihaknya mengalu-alukan permohonan kumpulan tersebut, lebih-lebih lagi selepas UMNO, memperkenalkan gagasan Rumah Bangsa untuk menyatukan semula orang Melayu, membawa pulang ahli yang keluar atau dipecat, serta merentasi perbezaan parti.

“Inilah Rumah Bangsa yang disebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selama ini.

“Saya mengharapkan Rumah Bangsa ini berdiri dengan teguh dalam satu ukhwah persaudaraan yang kuat untuk memastikan kesinambungan pembelaan masyarakat di kawasan setempat ini terbela,” katanya.

Beliau memberi jaminan akan terus berusaha untuk membantu masyarakat di Sungai Manik yang majoriti daripada terlibat dalam sektor pertanian, khususnya penanaman padi.

Menurutnya, pesawah padi di Sungai Manik mudah terkesan dengan perubahan cuaca sehingga menjejaskan pendapatan mereka yang tidak menentu.