LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 41 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia selepas menahan sebuah vesel nelayan asing yang bertindak agresif dalam satu operasi di perairan Teluk Senangin, berhampiran Batu Malang, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi bermula hasil maklumat awam yang diterima melalui talian kecemasan 999 pada jam 12.40 pagi sebelum bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi bagi
memintas vesel berkenaan.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut membawa 41 PATI warga Indonesia, terdiri daripada 29 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 57 tahun, yang disyaki memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Semasa operasi dijalankan, tekong vesel bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta melakukan beberapa gerakan berbahaya bagi mengelakkan daripada ditahan.
“Vesel tersebut turut merempuh bot ronda Maritim Malaysia sebanyak empat kali sehingga mengancam keselamatan anggota yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan anggota serta menghalang vesel tersebut daripada meloloskan diri, sebuah kapal ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak sebagai aset sokongan.
“Hasil tindakan pantas, profesional dan terkawal oleh anggota Maritim Malaysia, vesel berkenaan berjaya dipintas, disekat dan ditahan sepenuhnya pada jam 3.35 pagi,” ujarnya.


Bagaimanapun, kata Mohamad Shukri, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota Maritim Malaysia sepanjang operasi itu.
Menurutnya, vesel bersama kesemua tahanan kemudiannya diiring ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.
Mohamad Shukri menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh perairan negara atau tindakan agresif yang mengancam keselamatan anggota penguat kuasa.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa
terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.







