IPOH: UMNO Perak mengambil positif langkah parti Pas melancarkan jentera pilihan raya lebih awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu menjadi penggerak kepada jentera UMNO yang mungkin sebelum ini berada dalam keadaan belum sedia, untuk bangkit.
“Baguslah sebab bila Pas mula melancarkannya, maka jentera UMNO akan bangkit dengan sendirinya, kalau tidak, jentera UMNO tidur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Ahad lalu, Pas Perak melancarkan Gerak Kerja PRU-16 negeri itu di Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah (MTQDI), Kampung Luat, Lenggong, yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad.
Mengulas lanjut, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak melihat langkah Pas itu sebagai satu tekanan, sebaliknya menghargai situasi tersebut kerana ia menyuntik kesedaran dalam kalangan jentera parti.
“Bagi saya, ambil secara positif, tsk ada masalah. Cuma sekadar mengucapkan terima kasih kerana mereka berjaya membantu menggerakkan jentera UMNO bangkit,” ujarnya.
Mengulas kekusutan dalaman Perikatan Nasional (PN) khususnya antara Pas dan Bersatu, Saarani berkata, UMNO memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan parti sendiri tanpa bergantung kepada kelemahan pihak lain.
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar semua peringkat parti memperkukuh kekuatan dalaman sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.
“Kita tak tahulah orang lain dia lemah ke dia kuat ke, tetapi kita kena pastikan kalau kita menang, kita menang atas kekuatan kita sendiri,” katanya.
Tambahnya, arahan jelas telah dikeluarkan supaya semua kawasan memberi fokus kepada pemantapan organisasi dan jentera parti di peringkat akar umbi.
“Terpulang kepada PN, tetapi kita di peringkat kita, kita bangunkan dan perkukuhkan dalaman parti kita sendiri,” ujarnya.
Ends.





