IPOH: Seramai 45 atlet kelahiran Perak yang menyumbang pingat untuk Malaysia dalam Sukan SEA Thailand 2025 menerima insentif berjumlah RM93,800.
Turut menerima insentif ialah 40 atlet yang telah mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2025, berjumlah RM45,660.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai pengorbanan dan kejayaan atlet di pentas kebangsaan dan Asia Tenggara.
“Pemberian ini merupakan suntikan semangat buat atlet yang telah menyumbang tenaga dan pingat untuk negara serta mengekalkan status Perak sebagai “lubuk atlet” berkualiti tinggi,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian itu di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.
Antara kriteria penerima ialah memfokuskan kepada ‘Anak Jati Perak’ dan atlet yang telah lama bernaung di bawah program pembangunan Majlis Sukan Negeri Perak (MSN) Perak.
Pada majlis itu, Saarani turut mengumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim sebagai Chef de Mission kontinjen Negeri Perak bagi SUKMA XXII 2026 di Selangor.
Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin dan bekas atlet terjun negara, Datuk Leong Mun Yee sebagai Timbalan Chef de Mission.
Katanya, pelantikan Mun Yee kerana mengenangkannya telah menjenamakan Perak sebagai salah satu negeri yang telah menghasilkan atlet peringkat dunia.
Menteri Besar berkata, berdasarkan sistem anak angkat, Perak yakin dapat mengatasi kutipan 35 pingat emas yang diraih pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun lepas, menerusi penyertaan dalam SUKMA Selangor yang dijadual berlangsung pada Ogos tahun depan.








