AUKU masih relevan perkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara

Berita Perak

IPOH: Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) masih relevan dan harus dipertahankan bagi melicinkan sistem pentadbiran universiti di negara ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, AUKU membentuk asas yang kukuh bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam di Malaysia sekali gus menjamin prinsip pengurusan yang berkualiti, teratur dan mampan.

“Jawatankuasa ini dengan tegas menyatakan sokongan penuh terhadap pengekalan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagai sumber rujukan utama dalam tadbir urus universiti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun AUKU sudah menjalani pelbagai pindaan untuk disesuaikan dengan cabaran zaman, ia kekal relevan sebagai kerangka undang-undang yang seimbang bagi menjamin kebebasan akademik seiring dengan tanggungjawab sosial, seterusnya memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Sehubungan itu, beliau menyokong ketegasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir yang menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi ( KPT) tidak bercadang memansuhkan akta berkenaan sebaliknya beberapa kali dibuat penambahbaikan.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memelihara serta memperkasakan AUKU.

“Kami juga menjamin segala pindaan adalah selaras dengan prinsip kesejahteraan pelajar dan integriti universiti sebagai institusi yang komited kepada pembangunan holistik pelajar, kami yakin AUKU yang berterusan diperbaharui mengikut keperluan kontemporari amat penting,” ujarnya.

Menurutnya, AUKU mencakupi pengurusan tatatertib yang adil dan efektif, kewangan persatuan mahasiswa yang telus serta pembabitan pelajar dalam proses demokrasi kampus.

Justeru, katanya, pelaksanaan AUKU berjaya memastikan generasi mahasiswa berkembang dalam persekitaran kondusif, matang dan bertanggungjawab.

Ends.