TELUK INTAN: Menggunakan kalimah Allah dan ayat suci al-Quran untuk mengabui mata orang ramai khususnya pelanggan beragama Islam, termasuk menggunakan logo halal tidak sah di sebuah restoran dekat Teluk Intan.


Bukan setakat itu, premis juga didapati menggunakan
sepenuhnya dua pekerja bukan Islam dalam penyediaaan makanan dan minuman di restoran tersebut, termasuk tukang masak.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan terhadap restoran itu dilakukan pada Rabu jam 1 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan penguat kusa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan.
“Pemeriksaan ke atas sebuah restoran yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah dalam iklan perniagaan dan representasi takrif halal melalui penggunaan kalimah Allah, ayat- ayat suci al-Quran dalam perniagaan penyediaan makanan dan minuman di restorannya.


“Pemilik premis gagal mengemukakan dokumen perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM). dan didapati menggunakan dua pekerja bukan beragama islam dalam penyediaaan makanan dan minuman di restoran tersebut, termasuk tukang masak,” katanya pada Khamis.
Sehubungan itu, katanya pemilik premis perniagaan itu dikenakan tindakan dan ditahan untuk diambil keterangan.


Ujarnya lagi, pasukan serbuan turut menyita beberapa barangan iaitu satu set kalimah Allah dan Muhammad (kayu), satu set kalimah Allah dan Muhammad (plastik).
Satu al-Quran hiasan dinding, satu salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan dan satu salinan Daftar Perniagaan (SSM) dengan nilai sitaan sebanyak RM 500 bagi siasatan lanjut.
“Bagi kesalahan pertama kes ini akan disiasat di bawah Perenggan 4, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
“Bagi kesalahan kedua pula siasatan dijalankan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.
Tegasnya, KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan perbahasan atau takrif halal atau penggunaan logo halal yang tidak sah.
Kerana tindakan ini boleh memperdaya atau mengelirukan orang lain bahawa makanan, barang-barang serta perkhidmatan keluaran mereka adalah halal, terutamanya kepada orang Islam.

“Peniaga juga perlu cakna akan kesalahan yang melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal atau apa-apa representasi yang menunjukkan makanan atau barang yang ditawarkan boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam,” katanya lagi.





