IPOH: Walaupun konflik Asia Barat yang menyebabkan krisis tenaga global telah memberi kesan kepada semua pihak, namun masih ada pihak yang tampil untuk membantu golongan yang terkesan, khususnya B40.
Persatuan India Muslim Perak (PRIM) bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta Ariff Frozen Food memberi sumbangan barangan kering, sayuran dan makanan sejuk beku kepada 350 asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Beberapa penerima yang ditemui menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kerana ada pihak yang sudi membantu ketika kos sara hidup terus mencengkam mereka.
Hapizah Din, 49 dari Flat Seri Kepayang berkata, bantuan yang diterima banyak membantu meringankan kos sara hidup keluarganya.


“Terima kasih banyak-banyaklah, semoga tiap-tiap tahun dapat buat macam ni lah, dapatlah meringankan beban kami satu keluarga,” katanya.
OKU fizikal. Che Zaini Che Min, 60 dari Taman Rimba, Tambun pula berkata, bantuan itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan bulanannya.
“Alhamdulillah saya OKU fizikal dan asnaf juga, bantuan seperti ini dapat kurangkan bebanan belanja setiap bulan.
“Walaupun bujang, saya berbelanja sehingga RM300 sebulan untuk membeli keperluan harian,” ujarnya.
Seorang saudara baru, Abdul Majid Kalaiselvan Abdullah, 70, dari Flat Asbhy pula berkata, bantuan itu sangat membantunya sekeluarga
“Saya ada enam anak, termasuk anak yang masih bersekolah dan dengan bantuan seperti ini, sangat membantu saya, isteri serta anak-anak,” katanya


Rata-rata penerima berharap lebih banyak syarikat dan NGO yang berkemampuan tampil untuk membantu golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Arib Frozen Food, Fauziah Mohd Arib berkata, mereka memulakan program bank makanan sejak tahun 2016 dengan penerima pertama 60 buah keluarga dan bilangan itu terus meningkat sehingga kini.
Menurutnya, selain bantuan daripada syarikat sendiri, mereka juga mendapat tajaan daripada pelbagai pihak seperti pembekal mi, telur dan ikan, setiap satu bernilai RM150.
“Kita kongsi rezeki dengan semua orang dengan berkat semua yang menaja kepada kami, pembekal yang bekerjasama, dapat kami kongsi rezeki dengan semua yang memerlukan terutamanya B40, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi sekarang ni.
“Barangan yang pada kali ini lain daripada lain, bukan saja sayuran saja, ada juga barangan runcit, sayuran dan juga barangan sejuk beku daripada Arif Frozen Food sendiri,” ujarnya.







