Krisis bekalan global: DPPM Perak sambut baik penurunan sewa premis perniagaan

Berita Perak

IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak menyambut baik langkah kerajaan menurunkan kadar sewa premis perniagaan milik agensi Kerajaan Persekutuan mulai bulan ini.

Yang Dipertuanya, Amirudin Tajudin berkata, langkah itu dapat membantu mengurangkan kos operasi peniaga yang semakin dicengkam kenaikan harga bahan api.

Menurutnya, langkah itu juga dilihat dapat membantu peniaga mengurangkan harga jualan kepada pengguna atau setidak-tidaknya mengelakkan sebarang kenaikan.

“Dengan langkah ini sedikit sebanyak membantu usahawan untuk meneruskan perniagaan walaupun dalam margin keuntungan yang kecil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berharap, langkah Kerajaan Persekutuan itu akan diikuti Kerajaan Negeri, seterusnya pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau boleh syarikat swasta mengambil langkah yang sama kerana rantaian daripada itu, akhirnya akan dapat memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Amirudin turut menyambut baik langkah kerajaan untuk mempergiat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI dengan peningkatan kepada 30,000 program tahun ini, yang melibatkan semua DUN dan diadakan secara mingguan dengan jadual tetap.

Tambahan pula, katanya, langkah memperluaskan program itu ke kawasan desa dan kampung terpilih, turut melibatkan penyertaan peniaga kecil.

“Ini sudah pasti turut memberi ruang dan peluang kepada peniaga tempatan yang rata-rata daripada mereka hanya memiliki kedai runcit,” tambahnya.

Beliau mengulas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua agensi Kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang mengelola premis perniagaan untuk menurunkan kadar sewaan berkuatkuasa bulan ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung pada Selasa, sebagai sebahagian usaha meringankan kos operasi peniaga kecil.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan berharap agar PBT dan Kerajaan negeri turut mengikuti langkah yang sama, seperti komitmen yang dizahirkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.