TELUK INTAN: Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas bulan lepas.
Tertuduh SRC Parkash Rao, MA Aligeswaran, T Tiagesan dan K Shanker, masing-masing berumur 25 tahun, mengangguk faham apabila tuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama dan seorang lagi yang masih bebas, bagi mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian N. Jeyagoby, 70 tahun.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lorong Emas L2/1, Pekan Baru dalam Daerah Hilir Perak antara jam 6 hingga 6.30 pagi, 17 April lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Jika tidak digantung sampai mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen, termasuk laporan perubatan.
Pada Rabu, media melaporkan polis berjaya menahan tujuh lelaki tempatan dipercayai terbabit dengan kejadian samun sehingga menyebabkan kematian dan kecurian kabel dalam kejadian di sekitar Teluk Intan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar daerah Teluk Intan dan Bentong, Pahang.
Dalam kejadian pada 17 April lepas, media melaporkan seorang lelaki warga emas maut akibat dilibas dengan senjata tajam dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru, Teluk Intan.








