IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan seramai 94 orang pemimpin belia untuk membacakan khutbah Jumaat menjelang sambutan Hari Belia Negara pada 8 Mei ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, mereka yang terpilih akan membaca khutbah bertemakan belia di 94 buah masjid dan surau diri Jumaat di seluruh negeri.
Menurutnya, perkenan itu adalah bagi menghargai dan mengiktiraf peranan penting belia dalam negara.
“Baginda memperkenankan belia diberikan penghormatan sebagai khatib jemputan menyampaikan khutbah bertajuk *Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara”,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, senarai nama 94 pemimpin belia itu dikemukakan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak.
Antara masjid dan surau diri Jumaat itu ialah Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Muhibbuddin Shah dan Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh.
Tiga pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah diperkenankan untuk membaca khutbah di masjjd berkenaan sempena sambutan Hari Belia Negara yang akan disambut pada 15 Mei ini.
Mereka ialah Muhammad Azamuddin Ahmad Syahrul Herman (Masjid Sultan Idris Shah II), Muhammad Abdin Shakirin Azudin (Masjid Muhibbuddin Shah) dan Mohamad Haikal Sopian (Masjid Sultan Azlan Shah).





