IPOH: Tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berhubung kenyataan yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW, walaupun beliau telah mengemukakan permohonan maaf.
Pengerusi Bersama Biro Agama Pemuda UMNO Perak, Al Yashir Yahaya berkata, tindakan itu penting bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.
Menurutnya, permohonan maaf yang dibuat Nik Zawawi tidak memadai sebagai penyelesaian sebaliknya tindakan lanjut oleh pihak berkuasa tetap perlu diambil.
“Jika tiada tindakan diambil, perkara seperti ini akan berulang-ulang dan tidak akan menjadi pengajaran.
“Oleh yang demikian, kami harap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) ambil tindakanlah,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, di sini, petang semalam.
Beliau berharap, UMNO, Pas ataupun mana-mana parti sekalipun, jangan mengambil mudah perkara seumpama itu kerana ia kerana ia menimbulkan kegusaran di kalangan umat Islam apabila sahabat Nabi Muhammad SAW dihina sedemikian rupa.

Di dalam laporan polis yang dibuat, Al Yashir berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh mewakili PAS itu amat mengejutkan dan telah menimbulkan kemarahan serta kegusaran.
“Saya sebagai seorang muslum memandangkan Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA merupakan sahabat Rasulullah SAW yang sangat dimuliakan dalam Islam.
“Saya berpandangan bahawa kenyataan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab dan boleh ditafsirkan sebagai satu penghinaan terhadap tokoh agung Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan, perpecahan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini,” ujarnya.
Beliau yang mewakili Pemuda UMNO Perak Malaysia memohon pihak polis menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara tersebut agar tindakan sewajarnya dapat diambil, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang termasuk di bawah Seksyen 298 dan/atau Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta lain-lain peruntukan undang-undang berkaitan.
“Saya berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas dan segera demi memelihara keharmonian masyarakat serta menjaga kesucian agama Isiam daripada sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan sensitiviti umat Islam,” ujarnya.







