Perak akan bincang desakan bawa DAK pulang minggu depan

Berita Perak

IPOH: Kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan dengan satu pihak berkepentingan dan pemimpin tertinggi awal minggu hadapan bagi membincangkan desakan agar tiga ekor gajah Asia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dibawa pulang ke Malaysia dari Jepun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, perjumpaan tersebut adalah bagi meneliti perkara itu secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, beliau mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Menteri Besar Pahang, berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah itu yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

“Saya juga mengambil maklum keprihatinan semua pihak terhadap isu ini, dan kerajaan negeri sentiasa komited terhadap isu kebajikan haiwan.

“Pada masa ini, satu perjumpaan telah diaturkan bersama beberapa pihak berkepentingan dan pemimpin tertinggi awal minggu hadapan bagi meneliti perkara ini secara lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Sandrea berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lengkap dan menyeluruh selepas sesi perbincangan tersebut berlangsung.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di atas perhatian dan kefahaman.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menggesa Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke Malaysia dari Jepun sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar dan sensitiviti semasa.  

Jelasnya, perjanjian berkaitan pemindahan ketiga-tiga gajah itu dimeterai secara langsung antara Zoo Taiping & Night Safari dengan Zoo Tennoji, Osaka, Jepun melalui kaedah Business to Business (B2B).

Katanya, cadangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaam (NGO) untuk membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat wajar dipertimbangkan secara serius. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kemudiannya turut menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari mengambil tindakan segera membawa pulang mamalia berkenaan.

Beliau berkata ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan.