Rumah Kelab Ipoh MC di Kampung Sungai Rokam, rancakkan aktiviti, dekati komuniti

Berita Perak

IPOH: Rumah Kelab Ipoh MC (motorcycle club) yang bertapak di Kampung Sungai Rokam, di sini bukan hanya berfungsi sebagai lokasi ahlinya berkumpul, tetapi turut menjadi serampang dua mata dalam mendekati komuniti setempat.

Pengerusi Ipoh MC, Hasbullah Razally berkata, kelab motosikal itu sering menganjurkan pelbagai aktiviti yang melibatkan anak muda termasuk menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.

Tidak ketinggalan, usaha mereka dalam menggamit lebih ramai kelab motosikal dari negeri lain untuk datang ke Perak, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di sini.

“Rumah kelab ini menjadi pusat komuniti untuk mendekati remaja dan kita sering anjurkan program bersama masyarakat seperti bantuan kepada rumah anak yatim, sekolah tahfiz dan warga emas.

“Kita juga santuni MC dari luar Perak supaya singgah ke Perak dan menambah baik ekonomi di sini. Kita harapkan supaya kerajaan bantu usaha kita untuk buat kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian Rumah Kelab Ipoh MC baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Abdul Hamid Nasution yang mewakili Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.

Majlis tersebut berjaya menghimpunkan lebih 600 penunggang motosikal pelbagai jenis dari serata negeri.

“Dalam kelab ini kita memang terdiri daripada pelbagai kaum dan amalkan konsep muhibah, selain turut menyantuni anak muda yang bukan ahli kelab ini, kita raikan semua,” katanya lagi.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika bercakap mewakili Kar Hing berkata, pihaknya menerima dengan tangan terbuka dengan kehadiran Ipoh MC ke lokasi berkenaan.

“Banyak faedah dan perkara baik yang telah dilakukan oleh kelab ini. Diharapkan lebih banyak kerjasama yang boleh digarap selepas ini demi kebaikan komuniti di seluruh Parlimen Gopeng.

“Difahamkan mereka akan buka kafe juga di sini, dan boleh merancakkan suasana di kampung ini.

“Banyak program bersama anak muda khususnya dalam sukan permotoran boleh dilakukan, boleh belajar dengan senior yang banyak pengalaman dan tidak mustahil melahirkan lebih ramai jaguh yang boleh bertanding di peringkat membanggakan,” katanya.