Masalah 200 petani terkesan projek SVTP selesai dalam masa terdekat

Berita Perak

IPOH: Masalah kira-kira 200 petani yang terkesan dengan pembangunan projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, dekat Ipoh dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mencari kawasan sesuai bagi membolehkan petani berkenaan meneruskan kelangsungan hidup.

Menurutnya, terbaharu pihaknya mengadakan perbincangan dengan pembekal tenaga sebagai sebahagian daripada penyelesaian bagi membantu petani yang menjalankan kegiatan pertanian di atas tanah yang dibangunkan bagi projek SVTP.

“Sebelum daripada ini juga, pihak saya dan juga pejabat Ahli Parlimen telah berjumpa dengan pihak Railway Assets Corporation (RAC) juga dalam masih lagi dalam proses perbincangan untuk mengenal pasti berapa kawasan tanah RAC yang tidak digunakan bagi memberi laluan juga kepada mereka untuk menjalani kegiatan pertanian.

“Jadi secara prinsipnya pihak RAC telah bersetuju untuk memberikan sebahagian ataupun menyewakan sebahagian daripada tanah mereka bagi tujuan ini.

“Cuma kita masih lagi berunding daripada sudut terma tempoh dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas hadir sesi perbincangan antara pembekal tenaga dengan petani Kanthan di Klebang Ipoh pada Jumaat.

Menurutnya, secara prinsip pihak GLC berkenaan juga tiada halangan bagi melaksanakan inisiatif itu.

Ekoran itu, beliau yakin masalah yang dihadapi oleh petani berkenaan akan dapat diselesaikan secara tuntas dalam tempoh beberapa bulan.

Jelasnya, sebelum ini petani terlibat menjalankan kegiatan pertanian antara dua atau tiga ekar seorang dan kerajaan tidak berkemampuan untuk menggantikan keluasan tanah yang sama.

Bagaimanapun, kata Muhammad Kamil pihaknya telah memberi cadangan kepada Jabatan Pertanian dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) untuk membantu petani menjalankan kegiatan pertanian moden.

Menurutnya, cara pertanian moden itu mampu menjana pendapatan sama dengan kawasan yang besar.