Dakwaan RM2.25 bilion bayaran royalti petroleum tidak disalurkan kepada Terengganu sejak 2023 tidak tepat – Kamil

Berita Perak

IPOH: Dakwaan kononnya sebanyak RM2.25 bilion bayaran royalti petroleum tidak disalurkan ke dalam akaun kerajaan negeri Terengganu secara kumalatif sejak 2023 adalah tidak tepat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, bayaran itu juga bukanlah royalti, sebaliknya dana khas daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Jelasnya, kerajaan Persekutuan mahu memastikan dana yang disalurkan itu tidak hanya digunakan untuk membiayai gaji dan emolumen semata-mata.

“Semangatnya ialah kita nak pastikan bahawa duit-duit ini, dana khas ini tidak hanya digunakan untuk membiayai gaji dan emolumen semata-mata.

“Tetapi dalam masa yang sama, dana itu diselaras di antara Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan dan juga kerajaan negeri untuk kita pastikan projek-projek yang dapat memberi faedah kepada rakyat kebanyakan itu dapat dipantau dan dilaksanakan.

“Kita juga nak pastikan tidak ada masalah ketirisan dan juga kebocoran,” katanya kepada pemberita selepas hadir sesi perbincangan antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan petani Kanthan di Klebang, di sini Ipoh pada Jumaat.

Muhammad Kamil berkata, kaedah pembayaran dana itu sama seperti yang telah diamalkan sebelum ini.

Pada Khamis, kerajaan Terengganu mendedahkan sebanyak RM2.25 bilion bayaran royalti petroleum tidak disalurkan ke akaun kerajaan negeri secara kumulatif sejak 2023.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi tahun 2025 sahaja, kira-kira 52 peratus daripada jumlah royalti yang direkodkan gagal diterima kerajaan negeri.

Menurutnya, daripada keseluruhan RM1.37 bilion royalti petroleum bagi tahun berkenaan, hanya RM659 juta disalurkan secara terus, manakala baki RM713 juta tidak dimasukkan ke akaun kerajaan negeri.