Lelaki tular lakukan gangguan seksual di Gerik pernah terima rawatan mental

Berita Perak

IPOH: Lelaki yang disyaki melakukan gangguan seksual di dalam sebuah pasar raya di Gerik, yang tular di media sosial, pernah menjalani rawatan masalah mental.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek berusia 55 tahun itu juga tidak pernah berkahwin.

“Suspek tidak pernah berkahwin dan seorang penganggur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, lelaki itu diberkas kira-kira jam 9.45 malam tadi di kawasan Stesen Bas Gerik.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan gangguan seksual di dalam sebuah pasar raya di Gerik, yang tular di media sosial.

Abdul Samad berkata, pihaknya akan memohon perintah reman pada hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Semalam, tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita bertindak berani merakam perbuatan tidak senonoh seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual di sebuah premis perniagaan di Gerik.

Video berdurasi dua minit 30 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan dimarahi dua wanita kerana melakukan perbuatan tidak senonoh.