Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama manfaat kad NFC

Berita Perak

IPOH: Usaha memperkasakan komuniti menerusi pendigitalan di Perak kini turut dilaksanakan di peringkat persatuan penduduk.

Di Ipoh, Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama tampil memperkenalkan sistem komuniti digital menggunakan Kad NFC bagi memudahkan urusan ahli dan akses kepada pelbagai perkhidmatan setempat.

Pengerusi Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama, Muhammad Khalish Nantha Rajendran berkata, menerusi inisiatif itu, maklumat ahli direkodkan secara berpusat bagi memudahkan pengurusan persatuan selain membantu mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan.

“Fokus kad ini kita buat pusat sehenti yang merekodkan segala data kita. Dari segi pengurusan, semua rekod dalam kad adalah untuk kebajikan, keselamatan dan juga urusan pentadbiran yang lebih baik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beberapa ahli persatuan menyifatkan penggunaan Kad NFC itu memudahkan urusan harian termasuk semakan rekod keahlian, akses kepada perkhidmatan kecemasan serta mendapatkan maklumat mengenai perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan komuniti setempat.

Mohammad Azmin Saleh berkata, kad itu memudahkan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

“Bila dapat kad ini, mudah untuk saya akses maklumat seperti berapa banyak bayaran tahunan yang telah saya buat,” ujarnya.

Muhammad Izzat Syazwan Eddy Noor pula berkata, mereka yang berniaga kecil-kecilan juga boleh memanfaatkan penggunaan kad ini.

“Mana-mana usahawan kecil dalam taman kami dah masukkan maklumat mereka dalam kad ini dan kami boleh terus hubungi mereka.

“Contohnya di sini ada dua orang tukang jahit yang boleh beri khidmat mereka di samping ada juga yang boleh baik pulih komputer riba,” tambahnya.

Bagi Masnoor Wardani Maswira, dengan adanya kad itu, mereka boleh terus kepada bomba, polis dan juga Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Jadi dekat situ kita dah ada pusat sehenti untuk kita akses kepada semua perkhidmatan,” katanya.

Setakat ini, kira-kira 100 penduduk telah menerima manfaat daripada penggunaan Kad NFC tersebut.

Ends.