Pesta Sukan Sikh dan Piala Gurdwara Ke-74 Berlangsung Meriah di Perak

Berita Perak

IPOH: Pesta Sukan Sikh dan Piala Gurdwara Ke-74 Tahun 2026 yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Sikh Malaysia dan Singapura (MSSSC) berlangsung dengan penuh meriah di negeri Perak.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah, yang turut berangkat mencemar duli bagi merasmikan temasya sukan berprestij tersebut.

Keberangkatan baginda bukan sahaja memberi penghormatan kepada komuniti Sikh, malah melambangkan hubungan erat yang terjalin antara institusi diraja Perak dan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.

Presiden Perak Sikh Union merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Gurjeet Singh Randhawa, dalam ucapannya berkata Piala Gurdwara yang telah dianjurkan selama lebih 70 tahun merupakan antara tradisi sukan paling berprestij dan bersejarah dalam komuniti Sikh di Malaysia.

Menurut beliau, temasya yang berlangsung dari 3 hingga 6 Jun itu bukan sekadar platform pertandingan sukan, malah menjadi medan untuk memupuk nilai perpaduan, persahabatan, disiplin, ketabahan dan saling menghormati.

Tahun ini, atlet dari Malaysia dan Singapura mengambil bahagian dalam pelbagai acara termasuk hoki, bola sepak, bola jaring, pickleball, dart dan pool.

Katanya, sebahagian besar pertandingan yang diadakan di kompleks kelab Perak Sikh Union mencerminkan kemajuan serta perkembangan persatuan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, penaja, penyumbang, sukarelawan dan pegawai yang telah bertungkus-lumus menjayakan penganjuran temasya berkenaan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan para peserta agar bukan sahaja mengejar kemenangan, malah mengutamakan semangat kesukanan, integriti, kerendahan hati dan rasa hormat terhadap pihak lawan.

Turut hadir Penaung Perak Sikh Union, Datuk Dr Surinder Singh Seema.

Penganjur berharap pesta sukan itu akan terus menjadi platform penting dalam pembangunan sukan, pemerkasaan belia serta pengukuhan perpaduan komuniti untuk generasi akan datang.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Gurjeet Singh berkata, Pesta Sukan Sikh dan Piala Gurdwara telah melahirkan ramai ahli sukan yang mewakili negeri dan negara.

Beliau memberi contoh, bekas pemain bolasepak Datuk Santok Singh dan mendiang Serbegeth Singh selain beberapa pemain hoki dari negeri-negeri lain.