Tiada lagi ‘blind spot’ komunikasi sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan di Perak

Berita Perak

GOPENG: Tiada lagi kawasan titik buta atau blind spot komunikasi di sepanjang 220 kilometer jajaran Lebuh Raya Utara – Selatan (PLUS) dari Tanjung Malim ke Parit Buntar, Perak.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, masalah titik buta terakhir di Gua Tempurung telah diselesaikan sebulan lalu dengan pembinaan menara telekomunikasi baharu.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kawasan yang akan mengalami liputan lemah di jajaran itu, lebih-lebih lagi pada waktu puncak.

“Contohnya kalau kita dapati di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ketika waktu cuti dan sebagainya, ia akan sesak.

“Jadi tentulah liputan kawasan itu akan mula terjejas tapi saya difahamkan Suruhan Jaya Komunikasi Media (MCMC) sentiasa meletakkan peranti tambahan di kawasan tersebut untuk memberi liputan tambahan di kawasan tu,” katanya dalam sidang media ketika lawatan kerja ke tapak menara telekomunikasi di Gua Tempurung, di sini, hari ini.

Menurutnya, menara itu kini digunakan oleh beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL Communications dan Telekom Malaysia.

Jelasnya, pembinaan menara tersebut berdepan cabaran dari segi bentuk muka bumi selain faktor keselamatan memandangkan kawasan berkenaan pernah berlaku kejadian tanah runtuh.

Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri akan melihat dari semasa ke semasa sekiranya perlu membina menara telekomunikasi yang perlu dibina di kawasan sepanjang jajaran itu.

Menurutnya, isu liputan di Gua Tempurung telah dikenal pasti sebagai antara lokasi utama titik buta telekomunikasi menerusi Jawatankuasa Pemantauan Isu Liputan Telekomunikasi Negeri Perak (JPIL) yang ditubuhkan sejak 2023.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau beberapa lokasi lain yang masih mengalami liputan lemah di sepanjang lebuh raya berkenaan serta di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).