Pendaki hilang: Polis rakam keterangan 36 individu

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakamkan keterangan 36 individu berhubung kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas dua minggu hilang di Gunung Batu Putih.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, 28 individu, termasuk rakan-rakan wanita itu diambil keterangan berhubung kes orang hilang manakala lapan lagi, termasuk Jaslinda berhubung kes fitnah Tok Batin.

Menurutnya, seorang pengguna TikTok telah direman empat hari mulai Jumaat kerana didakwa memfitnah dan mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu berhubung penemuan pendaki wanita itu.

“Nasihat daripada pihak polis, kita ni dalam menyampaikan kenyataan terutamanya di media sosial ni, pastikan perkara itu adalah sahih.

“Kalau tak sahih, jangan kita siarkan kerana itu mendatangkan fitnah kepada mangsa. Jadi kita mintalah pada semua masyarakat supaya mengelakkan benda ni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak antara Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah dan Superintendan Mohd Ridzuan Nor Ihsan di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Sebelum itu, dalam sesi siaran langsung melalui akaun TikTok, seorang lelaki mendakwa Jaslinda telah “disimpan” oleh Mohd Asmmadi selama dua minggu dan mendakwa jika perkara terbabit tidak tular berkemungkinan tok batin akan berkahwin dengan wanita berkenaan.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu kemudiannya ditahan di kediamannya di Ipoh kira-kira jam 1 tengahari Khamis, walaupun telah membuat permohonan maaf.

Pada Selasa, Jaslinda dibenarkan pulang pada Selasa selepas tiga hari dirawat di Hospital Tapah.

Wanita itu ditemui selamat pada petang Sabtu selepas hilang di Gunung Batu Putih selama dua minggu ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.