Suspek kes bunuh Perak Tengah juga rogol teman wanita mangsa

Berita Perak

IPOH: Suspek kes bunuh di Perak Tengah juga dipercayai merogol teman wanita mangsa sehari sebelum kejadian bunuh pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek, seorang lelaki berumur 30 tahun telah diberkas di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar, kira-kira jam 3.45 petang, Khamis.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah pisau yang dibuang oleh suspek di dalam tong sampah di bandar Kangar.

“Dari sudut siasatan, pihak polis menjalankan siasatan di bawah kesalahan seperti berikut: Pertama, Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

“Kedua, Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak antara Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah dan Superintendan Mohd Ridzuan Nor Ihsan di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Alwi berkata, kira-kira jam 5.49 pagi Rabu, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian seorang lelaki ditikam di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, Kampung Gajah.

Menurutnya, mangsa yang berusia 29 tahun telah dihantar ke sebuah klinik swasta di Kampung Gajah untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia.

Tambahnya, siasatan polis mendapati, kira-kira jam 9 pagi Selasa, suspek datang berjumpa bekas teman wanitanya, berusia 25 tahun untuk berbincang mengenai hubungan mereka di kawasan sawah padi, sebelum bertindak mengugut dan merogolnya di dalam kereta.

Katanya, ketika suspek ingin menghantar wanita itu kira-kira jam 5 pagi, mangsa yang merupakan teman lelaki wanita tersebut datang untuk berjumpanya.

Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri tetapi keretanya dilanggar dan dihalang oleh mangsa sebelum suspek menikamnya dengan sebilah pisau di bahagian perut.

Suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan.