PRN Johor, Negeri Sembilan: AMK sudah hantar senarai calon

Berita Perak

TAMBUN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah menghantar senarai untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan pada Julai dan Ogos depan.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, senarai itu yang turut mengandungi tokoh-tokoh baharu telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Calon.

Beliau berharap, lebih ramai calon muda, khususnya dalam kalangan AMK akan diberi peluang pada PRN kedua-dua negeri itu.

“AMK meletakkan harapan yang tinggi supaya pada pilihan raya kali ini ruang itu dapat diperluas kepada calon-calon khususnya di kalangan AMK kerana kita menyedari hakikat pada pilihan raya kali ini bahawa 50 hingga ke 55 peratus pengundi yang akan membuat keputusan adalah mereka yang berumur se- dalam lingkungan 45 tahun dan ke bawah.

“Jadi faktor calon itu juga penting sebagai pertimbangan bagaimana kita dapat mengukuh sokongan dan meyakinkan pengundi untuk bersama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain jentera tempatan AMK juga akan menghantar seramai mungkin jentera dari negeri-negeri lain untuk membantu kempen di Johor dan Negeri Sembilan.

“Kita akan kerahkan semaksima mungkin jentera kita untuk memeriahkan pesta demokrasi di Johor dan juga di Negeri Sembilan ini, insya-Allah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memberi penjelasan mengapa kedua-dua PRN itu tidak boleh diadakan seretak.

Menurutnya, ia adalah sesuatu yang agak pelik kerana Pilihan Raya Umum (PRU) yang melibatkan semua negeri boleh pula diadakan serentak.

“Saya tidak ada jawapan kepada alasan kenapa ia diadakan pada dua waktu yang berbeza.

“Jadi dalam hal ini saya fikir harus dirujuk kepada pihak SPR sendiri untuk mendapatkan alasan dan juga penjelasan daripada mereka,” katanya.

Pada Jumaat, SPR menetapkan PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara berasingan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai.

Katanya, bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos.