Mengecewakan, sekolah Tamil diminta lebih aktif sertai program kerajaan

Berita Perak

IPOH: Sekolah Tamil di Perak diminta mengambil bahagian lebih aktif dalam program anjuran kerajaan negeri khususnya yang melibatkan pembangunan sahsiah dan bakat murid.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, kerajaan negeri telah menyediakan banyak peruntukan untuk pembangunan murid India di negeri ini.

Beliau memberi contohnya, sebanyak RM1 juta peruntukan khas disediakan untuk pembangunan murid India disediakan selain RM12 juta bagi hal ehwal bukan Islam yang juga boleh dimanfaatkan pengurusan sekolah.

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana penyertaan sekolah-sekolah Tamil dalam program dianjurkan adalah kurang memberangsangkan dengan penyertaan di bawah 50 peratus daripada keseluruhan 134 sekolah seluruh negeri.

“Saya minta guru besar lebih serius. Selama ini, kerajaan tidak pernah menafikan hak mana-mana sekolah jika mereka memerlukan bantuan untuk pendidikan atau aktiviti.

“Ada peruntukan datang daripada kerajaan pusat, negeri dan wakil rakyat, tetapi kalau sambutannya kurang baik, eloklah kita tak perlu buang masa atau wang kerajaan untuk menganjurkannya,” tegasnya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Perak 2026 di Padang Ipoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak India Negeri Perak, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail serta bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk M Karathu.

Kejohanan yang diadakan secara tahunan itu hanya menerima penyertaan 28 pasukan dan mendapat sokongan penuh kerajaan negeri serta Jabatan Pendidikan.

Sivanesan berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan secara konsisten antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi menjayakan kejohanan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

“Tahun lalu kita ada 61 pasukan, itu pun kurang daripada 50 peratus. Tahun ini lebih rendah, jadi saya lihat tahap kesungguhan itu tidak memuaskan.

“Saya akan berhubung dengan Pengarah Jabatan Pendidikan dan Persatuan Guru Besar bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, penganjuran kejohanan itu menjadi platform penting untuk mencungkil bakat bola sepak dalam kalangan murid India berusia bawah 12 tahun.

Katanya, Perak akan menghantar tiga pasukan ke peringkat kebangsaan dengan pemilihan dibuat berdasarkan pemain terbaik dari pelbagai sekolah.

“Penyertaan dalam kejohanan ini adalah percuma sepenuhnya tanpa sebarang yuran dikenakan kepada sekolah atau ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi harapan agar kejohanan seumpama itu dapat melahirkan pemain boleh mewakili negeri dan negara pada suatu hari nanti.