Sultan Nazrin terima zakat perniagaan lebih RM18 juta

Berita Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM18,755,278.77 daripada enam syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Kinta, di sini, pada Selasa

Penyerahan zakat pertama diterima daripada Empayar Indera Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Besar, Datuk Hasrin Abdul Rahman, dengan jumlah bayaran zakat sebanyak RM200,000.

Berikutnya, Kumpulan Kewangan Islam Maybank yang diwakili Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, menunaikan kewajipan zakat berjumlah RM4,087,000.

Dalam pada itu, zakat perniagaan berjumlah RM6,497,476.64 daripada Lembaga Tabung Hajiyang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mustakim Mohamad.

Seterusnya, Public Islamic Bank Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi menyampaikan bayaran zakat sebanyak RM300,000.

Ia diikuti oleh Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad yang telah menyalurkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7,285,000.

Penyerahan zakat perniagaan diakhiri oleh YP Nominees Holdings Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Rozita Ramli berjumlah RM385,802.13.

Sultan Perak kemudiannya berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sebelum itu, majlis didahului dengan pengurniaan watikah anggota MAIPk kepada Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Asmori Sa’ahari.

Hadir sama Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim

Menurut kenyataan ZAPAR, sumbangan zakat yang diterima hari ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, malah menjadi lambang kepercayaan dan iltizam berterusan para pembayar zakat dalam memperkasakan agenda pembangunan ummah.

ZAPAR komited untuk menguruskan serta mengagihkan dana zakat secara cekap, telus dan berakauntabiliti agar manfaatnya dapat dirasai oleh golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.

Sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2026, lebih RM63 juta telah diagihkan kepada golongan asnaf di negeri Perak melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan.

Pencapaian itu membuktikan bahawa amanah yang diberikan oleh para pembayar zakat terus diterjemahkan kepada manfaat yang nyata untuk masyarakat yang memerlukan.