Perhilitan tangkap 12 ekor gajah liar di Gerik

Berita Perak

GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap sepasukan 12 ekor gajah di Kampung Bongor, Gerik selepas berlaku konflik dengan penduduk kampung.

Exco Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, gajah-gajah itu akan dipindahkan ke lokasi baharu secara berperingkat bermula tiga ekor pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor itu mengakui konflik antara gajah dan manusia sering berlaku di daerah Hulu Perak dan khidmat Perhilitan diperlukan bagi memindahkan mamalia liar berkenaan.

“Jadi beginilah situasinya bila Perhilitan menerima laporan daripada orang-orang kampung, mereka akan datang buat kawalan dan cuba untuk memastikan ancaman gajah itu kepada orang kampung tidak berlaku.

“Jadi sekiranya ada perkara-perkara yang mungkin menyebabkan ada gangguan ke apa, itulah kita tangkap, Perhilitan tangkap untuk dipindahkan. Proses akan berlangsung mengikut berapa jumlah gajah lah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja-kerja pemindahan gajah di Kampung Bongor, Gerik pada Rabu.

Menuru Salbiah, jumlah tangkapan gajah terbanyak di Daerah Hulu Perak adalah pada tahun lalu di Bandariang sebanyak 19 ekor.

Sementara itu, seorang suri rumah menceritakan detik cemas apabila melihat sekumpulan gajah liar muncul di belakang rumahnya di Jalan Tok Bali, Kampung Bongor Hulu pada Khamis lalu.

Menurut Siti Rasidah Abd. Lateh, 43, kejadian berlaku pada pukul 7 pagi ketika dia berada di ruang dapur dan mendengar bunyi bising dari arah belakang rumahnya.

“Pagi sebelum pukul 7 nampak, nampak kawasan rumah saya sebelah rumah sana, dia nampak dari belakang rumah, nampak di belakang rumah tu.

“Lepas tu saya nak ambil gambar la sebab teruja, dengan ketarnya nak ambil gambar ni nak buat video nak hantar ke anak-anak saudara.

“Waktu ambil video tu, tengok dia bergerak ke arah saya satu kumpulan tu dan saya menjerit sampai tak ada suara, sampai anak perempuan saya bangun, dia pun menjerit juga,” katanya.

Menurutnya, ketika itu beberapa anggota Perhilitan yang kebetulan berada berhampiran rumahnya, segera datang membantu dan menembak haiwan itu menggunakan ubat pelali.

Katanya, kemunculan gajah liar di kampung berkenaan bukan perkara baharu, malah penduduk sebelum ini turut berdepan ancaman harimau yang berkeliaran di kawasan tersebut.