PolyCC terus sokong usaha kemanusiaan bantu rakyat Gaza

Berita Perak

IPOH: Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) terus menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin menerusi sokongan kepada usaha kemanusiaan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dalam membantu rakyat Gaza yang terus berdepan penderitaan berpanjangan.

Komitmen itu dizahirkan menerusi Program Hi Tea Kemanusiaan “Bersama Membina Gaza” anjuran MyCARE Perak yang berlangsung di Prestige Hall, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini semalam yang menghimpunkan individu, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha kemanusiaan serta gerakan bantuan kepada rakyat Gaza.

Menurut kenyataan PUO Pengurus Besar MyCARE Palestin, Dr. Ziad M.M. Shehada, dalam perkongsiannya menyampaikan mesej mengenai harapan rakyat Palestin untuk terus bertahan dan meneruskan kehidupan, selain menjelaskan realiti sebenar yang berlaku di Gaza susulan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

“Pengerusi MyCARE Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha dalam ucaptamanya berkongsi pengalaman serta usaha berterusan MyCARE dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza hasil sokongan dan solidariti rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Turut hadir Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Salmi Che Meh, yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Pengarah dan wakil Pengarah institusi PolyCC Negeri Perak serta barisan pengurusan PUO.

Menurut kenyataan itu lagi, sokongan PolyCC mencerminkan komitmen warga institusi pendidikan berkenaan untuk terus bersama-sama menyokong usaha kemanusiaan bagi membantu saudara kita di Gaza yang berdepan kesengsaraan dan kehilangan yang berpanjangan.

Dalam pada itu, katanya, Muafakat PolyCC masih membuka ruang kepada seluruh warga politeknik untuk menyumbang kepada usaha bantuan kemanusiaan tersebut melalui institusi masing-masing.

“Solidariti dan sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia amat penting bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan di Gaza,” kata kenyataan itu.

Ends.