Ibu tunggal maut kemalangan, dua anak terima faedah Perkeso

Berita Perak

IPOH: Waris kepada ibu tunggal yang meninggal dunia akibat kemalangan ketika selepas menghantar anaknya bekerja  di Botani, di sini pada Februari lalu, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass, berkata hasil semakan pihaknya mendapati Faridah Hanum, 52, merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah (Skim LINDUNG Kasih).

Menurutnya, walaupun tempoh perlindungan Allahyarham telah tamat pada 30 November 2025, namun khusus untuk pencarum LINDUNG Kasih, mereka masih mendapat perlindungan tambahan selama lapan bulan dari tarikh tamat tempoh perlindungan bagi tuntutan berkaitan berkaitan keilatan dan kematian.

“Justeru, waris arwah layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 yang diserahkan kepada anak sulung arwah, Mohamad Zulhilmi Khairul Anuar, 29, bagi menampung urusan pengebumian jenazah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, dua lagi anak arwah yang masih menuntut iaitu Nur Qurratul Aini Khairul Anuar, 18, dan Nur Arifah Amani Khairul Anuar, 16, pula layak menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM180 sebulan sehingga mereka berusia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama, mengikut mana yang terdahulu.

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, turut meluangkan masa menyantuni waris keluarga di kediaman mereka di Taman Pinji Mewah, Ipoh dalam Ziarah Prihatin bersama Anthony

Selain menyerahkan bayaran faedah dan mereka turut menyampaikan sumbangan kotak prihatin yang mengandungi barangan keperluan dapur seperti beras, gula, bihun, garam dan lain-lain untuk kegunaan mereka.

PERKESO berharap bantuan faedah yang diterima sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka sekeluarga selain akan membantu keluarga ini mendapatkan bantuan dari agensi lain yang berkaitan menerusi platform Social Synergy.

Dalam kejadian 27 Februari lalu, mangsa yang menunggang motosikal disyaki berlanggar dengan sebuah kereta, mengakibatkannya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ends.