Bapa muda didakwa cabul pekerja kedai serbaneka

Berita Perak

IPOH: Seorang bapa muda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan cabul dan mengganggu kesantunan seorang pekerja kedai serbaneka bulan lepas.

Penjaga stor, Muhammad Haziq Danial Zulkifli, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak berusia tujuh tahun itu didakwa menggunakan kekerasan terhadap seorang pekerja wanita berumur 19 tahun bagi maksud untuk mencabul kehormatannya dengan memeluknya dari belakang dan memegang kedua-dua payu dara mangsa.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan onani di hadapan mangsa yang sama dan telah mengganggu kesantunannya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pertuduhan itu ddidakwa melakukan di Kedai Serbaneka di Panorama Lapangan Perdana, dalam daerah Kinta, lebih kurang jam 5.25 pagi, 24 Ogos lalu.

Mahkamah membenarnya tertuduh dijamin RM4,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Ends.