IPOH: Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) terus memperkasa wanita menerusi pelbagai program kemasyarakatan, termasuk menghargai golongan ibu.
Terbaharu, menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jelajah Anugerah Wanita Ikon Perak 2026 bertemakan “Jalinan Kasih – Ibu Disayangi”, program itu menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi inspirasi dan sokongan.
Menurut Pengerusi KWIM Perak, Rasmiyaton Siti Faridah Aspar, program turut mengangkat peranan ibu, yang menjadi antara pendorong utama kejayaan dua ikon wanita yang diraikan.
“Kejayaan dua Ikon Perak adalah daripada ibu dan hari ini terbukti walaupun kita seoramg ibu, kita juga boleh untuk berjaya.
“Saya harap dengan program ini, akan membimbulkan kesedaran setiap keluarga bahawa ibu perlu dihargai dan disayangi,” katanya ketika ditemui.



Sementara itu, Pengerusi KWIM Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, pengiktirafan itu juga sepatutnya bukan sekadar meraikan pencapaian.
Sebaliknya, kata beliau, ia perlu menjadi platform untuk wanita terus menyokong dan memperkasa antara satu sama lain.
“Jadi, dia kena ada susulan, sekaligus memotivasikan wanita-wanita ini, mungkin dari keusahawanan ataupun jati diri atau sebagainya.


“Inilah yang kita laksanakan sebab Kelab Ikon Wanita Malaysia memperkasakan wanita, bukan hanya satu hari tetapi kita pimpin tangan masing-masing kerana kita mahu memperkasakan antara satu sama lain,” ujarnya.
Menurutnya, ketija ini, KWIM mempunyai 13 cawangan di seluruh negara dengan kira-kira 150 ahli jawatankuasa.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Pembangunan Wanita Perak, Jamilah Zakaria berkata, usaha itu turut dilihat mampu membuka ruang kepada lebih ramai wanita di negeri ini untuk menjadikan kejayaan ikon sebagai inspirasi.
“Saya yakin sekiranya mereka diberi peluang menjadi ikon di peringkat kebangsaan, nescaya ramai ibu dan wanita Perak akan mengambil inspirasi itu sebagai salah satu hala tuju untuk mereka juga berjaya seperti ikon-ikon yang dipilih ini,” katanya.
END





