BUKIT GANTANG: Sebanyak 206 buah bot mengambil bahagian dalam perarakan dan pertandingan bot berhias sempena Sambutan Hari Malaysia peringkat Parlimen Bukit Gantang, Perak, pada Rabu.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal berkata, bilangan itu meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lepas, selain penyertaan nelayan kaum Cina.



Menurutnya, selepas lima siri, pihaknya berhasrat meneruskan untuk program itu dalam usaha untuk menggalakkan sektor agro-pelancongan di kawasan Trong dan penghargaan kepada golongan nelayan.
“Kita mahu menggalakkan ekonomi agro-tourism dengan cara memperkenalkan kawasan Terong ini khususnya, di mana ada kelong-kelong yang menjadi tempat tarikan pemancing-pemancing.
“Dulu masa mula-mula saya masuk ada dua kelong saja kita tengok. Sekarang dah bertambah dekat 20 kelong dengan tidak putus-putus pengunjung datang untuk memancing,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas pelepasan peserta di kelong di perairan Terong di sini, hari ini, Syed Abu Hussin berkata, kedatangan ramai pemancing dan pelancong akan menggalakkan ekonomi penduduk setempat.
Menurutnya, beliau juga bercadang untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book Of Record kerana bilangan penyertaan yang banyak.
Dalam masa sama, beliau merancang untuk menganjurkan pasar terapong di kawasan berkenaan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui, pertandingan itu juga dapat dapat menyemarakkan semangat patriotik di kalangan mereka serta keluarga.
Isteri nelayan Sungai Kerang, Lim Siew Cheen, 41, berkata, dia dan suami Lim Chai Beng, 56, mengambil bahagian kerana ingin memberi pendedahan kepada dua anaknya yang berusia 7 dan 11 tahun.


“Itu sebab saya bawa anak untuk tengok pertandingan sebagai pengalaman kepada mereka.
“Walaupun ada pertandingan mewarna dan melukis, mereka tak dapat masuk sebab kena ikut bot,” ujarnya.
Bagi pengusaha kelong, Anuar Saad, program itu sangat bermakna kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor perikanan.
Beliau bersama isteri dan anak-anak saudara mengambil bahagian dalam program itu adalah untuk menunjukkan semangat patriotik.

“Semangat patriotik dalam jiwa saya tu besar. Jadi saya nak buktikan macam mana? Macam nilah. Kita tunjukkan semangat, kita beli bendera, kita hias bot, kita raikan bersama-sama untuk seluruh rakyat Malaysia, untuk Malaysia tercinta,” ujarnya.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diterus dan diperluaskan lagi di tempat-tempat lain yang berhampiran.
Ends.





