Isu bil elektrik: AMK harap keputusan positif

Berita Perak

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap mesyuarat khas bagi meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terkesan akan menghasilkan keputusan positif.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim percaya tindakan susulan yang akan diumumkan dapat meringankan dan memberi kelegaan kepada rakyat.

Menurutnya, walaupun mekanisma yang digunakan ketika ini sebenarnya boleh mengurangkan bil, tetapi mungkin disebabkan keadaan cuaca dan jerebu yang melanda, telah sedikit sebanyak menjejaskan mekanisma tersebut.

“Insya-Allah kita nantikan sekiranya ada pengumuman ataupun langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan..meringankan beban yang… yang dihadapi oleh pengguna pada ketika ini.

“Dan saya boleh bagi jaminan kepada semua bahawa kerajaan hari ini ialah kerajaan yang mendengar keluhan dan juga permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri kepad Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Tambun, pada Khamis.

Pada majlis itu beliau menyerahkan sumbangan RM117,000 kepada 10 buah NGO.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan satu mesyuarat khas diadakan bagi meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terkesan.

Menyuarat khas diadakan pada Khamis bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Perdana Menteri sekembalinya dari India dan Maldives, berkata, perhatiannya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil menyelar tindakan segelintir pemimpin kerajaan yang sering berdolak dalik dalam kenyataan yang dibuat.

Menurutnya, mereka hanya berani bercakap tetapi tidak berani untuk melakukannya.

Beliau secara sinis berkata, terdapat pihak yang hanya lantang ‘menyerang’ Perdana Menteri, tetapi tidak menunjukkan tindakan.

“Setengah orang dia berani cakap saja, tapi dia tak berani buat. Itu kita kena nilai mana pemimpin yang bekerja dan mana yang sekadar bermain politik,”

“Kita dengar ucapan-ucapan yang seolah-olah memberi gambaran keadaan tidak stabil, tidak kukuh dan sebagainya, tetapi itu adalah kenyataan politik biasa.

“Ada juga percubaan daripada kelompok tertentu yang sengaja mewujudkan keadaan tidak stabil ini bagi memenuhi kepentingan pihak tertentu dalam parti mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan berbeza berkaitan desakan Pilihan Raya Umum (PRU), beliau berkata perkara itu perlu dirujuk kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Itu kena tanya orang itu. Pagi cakap lain, malam cakap lain. Pening agaknya,” katanya.

Ends.