SUNGAI SIPUT: Program Kembara Bersasar 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan siri jelajahnya di Perak baru-baru ini dengan menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai kumpulan sasaran keempat.
Ia bagi memperluas akses dan maklumat pendidikan tinggi secara terus kepada komuniti akar umbi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah, berkata pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan anak-anak Orang Asli, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman, tidak terpinggir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata pelaksanaan program di Pos Yum dan Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong di sini membuktikan faktor lokasi bukan penghalang bagi mendapatkan akses kepada maklumat dan peluang pendidikan tinggi.



“Walau di mana jua anak-anak kita berada, sama ada di pusat bandar mahupun di pedalaman, akses dan ruang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sentiasa terbuka luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Bersasar Orang Asli 2026/2027 (Mai Hik ke Menara Gading) di Dewan Pandak Hamid, OAOSC Bawong.
Khairudin berkata usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat Orang Asli turut dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Antara usaha yang dilaksana ialah menyediakan bimbingan permohonan UPUOnline, pengiraan merit, penentuan hala tuju pengajian serta khidmat Counselor on Wheels bagi membantu pelajar mengenal pasti bidang yang sesuai dengan potensi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata pendedahan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kursus pendek keusahawanan serta pengajian profesional turut diberi penekanan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing anak-anak Orang Asli.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata penganjuran di Perak merupakan lokasi keempat dalam siri Jelajah Program Kembara Bersasar 2026 anjuran KPT menerusi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Raja Nor Safinas berkata pendekatan di Perak dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh dengan pengisian merangkumi bimbingan pendidikan tinggi, pembangunan kemahiran dan TVET, kebajikan serta khidmat kemasyarakatan, selain aktiviti komuniti dan warisan kebudayaan.
Dalam pada itu, program yang berlangsung selama dua hari di Pos Yum dan OAOSC Bawong turut menyediakan kursus pendek praktikal seperti manicure dan penternakan madu kelulut, selain pameran akademik dan praktikal berasaskan TVET.
Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian secara simbolik surat tawaran pengajian Diploma Perguruan di UPSI kepada 25 orang asli yang terpilih, sebagai antara manifestasi peluang pendidikan tinggi yang dibawakan menerusi program berkenaan.





