Iklan bantuan kerajaan palsu perangkap mangsa, Rawi gesa orang ramai waspada

Berita Perak

IPOH: Media sosial kini dibanjiri pelbagai iklan palsu yang mendakwa menawarkan bantuan kerajaan, termasuk “Bantuan eKasih 2026”, bantuan tunai elektronik RM100 secara sekali bayar dan bantuan ibu bersalin .

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata penipuan berkenaan dipercayai bertujuan memperdaya orang ramai supaya mengklik pautan tidak dikenali atau mengimbas kod QR bagi membuat permohonan bantuan.

Menurutnya, baru-baru ini seorang anggota masyarakat tampil mendapatkan pengesahan daripada platform MyCheck mengenai kesahihan poster “Bantuan eKasih 2026” yang tular di media sosial.

“Berdasarkan semakan MyCheck, kebanyakan poster bantuan kerajaan yang tular itu adalah palsu dan bukan pengumuman rasmi kerajaan,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, iklan sedemikian lazimnya menggunakan ayat seperti “bantuan akan ditutup tidak lama lagi” atau “layak memohon” bagi mewujudkan rasa tergesa-gesa dalam kalangan mangsa.

“Mangsa kemudian diarahkan mengklik pautan atau mengimbas kod QR sebelum dibawa ke laman sesawang palsu yang meminta mereka memasukkan maklumat peribadi, butiran akaun bank dan kod pengesahan.

“Sekiranya maklumat sensitif diberikan, ia boleh disalahgunakan oleh sindiket penipuan untuk mencuri wang, menyalahgunakan identiti atau melakukan penipuan lain,” ujarnya.

Rawi menjelaskan, modus operandi tersebut dikenali sebagai “Quishing”, iaitu gabungan kod QR dan “Phishing” atau pancingan data.

Tambahnya, penipu menyembunyikan pautan berbahaya di sebalik kod QR bagi mengelirukan mangsa dan membawa mereka ke laman sesawang pancingan data.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap kod QR sebagai selamat secara automatik, khususnya kod QR yang diterima melalui WhatsApp, Facebook, TikTok atau platform media sosial lain.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan bantuan kerajaan hendaklah disemak melalui laman sesawang rasmi kerajaan, kementerian atau jabatan berkaitan serta saluran media sosial rasmi.

“Jangan mudah terpedaya dengan poster yang tidak diketahui sumbernya, terutama yang meminta kata laluan bank, kod pengesahan atau maklumat peribadi,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai berkongsi maklumat berkaitan modus operandi penipuan ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan, khususnya golongan warga emas, supaya mereka tidak menjadi mangsa iklan bantuan kerajaan palsu dan penipuan “Quishing”.

Ends.