UMNO Sungai Siput lancar Tabung Solidariti Najib, sumbangan awal RM30,000

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: UMNO Bahagian Sungai Siput melancarkan kutipan Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengutip sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Ketuanya, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, sebagai permulaan UMNO bahagian itu menyumbangkan RM30,000 untuk tabung tersebut.

Menurutnya, tabung itu mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pelbagai pihak, khususnya pemimpin dan ahli UMNO akar umbi

“Saya penuh yakin walaupun sumbangan mereka RM1, RM5 atau RM10 tetapi atas kasih sayang, komitmen dan kenang budi jasa yang telah disumbangkan oleh Datuk Seri Najib kepada parti dan juga negara amat tidak ternilai.

“Inilah peluang kepada rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO untuk menyumbang sebagai menyatakan terima kasih dengan memberikan sumbangan untuk tabung ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan tabung itu di Wisma UMNO Sungai Siput pada Isnin

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Dr. Aminuddin Md Hanafiah, pemimpin UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri termasuk dari peringkat cawangan.

Mohd Zolkafly yakin, mereka akan membuat sumbangan melalui QR Quote yang disediakan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

Selain itu, katanya, sebelum ini pun ramai ahli UMNO telah menyatakan bahawa mereka telah memberi sumbangan selepas ia diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu.

Malah, ujarnya, sumbangan bukan sahaja daripada ahli UMNO, tetapi sumbangan ikhlas turut dihulurkan rakyat pelbagai kaum termasuk kaum Cina, India dan masyarakat Orang Asli.

“Ini menunjukkan kasih sayang mereka kepada mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri begitu akrab sekali,” ujarnya.

Beliau menyeru rakyat, khususnya ahli UMNO di Sungai Siput menghulurkan sumbangan, walaupun RM1 sebagai tanda kasih sayang, penghormatan dan mengenang budi yang telah disumbangkan oleh Najib.

Sementar itu, Ketua Pemuda UMNO Sungai Siput, Muhammad Ariff Zaky Mohd Zolkafly berkata, sumbangan bukan sahaja daripada orang lama yang menjadi Pemuda ketika zaman Najib, malah Pemuda UMNO sekarang turut tampil menghulurkan sumbangan.

“Mereka menyatakan sokongan dan solidariti dan juga menyumbang kerana mereka turut merasai serta menikmati manfaat daripada pemerintahan Datuk Seri Najib.

“Saya lihat bukan sahaja ahli atau Pemuda UMNO yang menyumbang tapi kalau kita lihat dimedia sosial, mereka secara terbuka menunjukkan bahawa mereka turut menyumbang,” katanya.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan itu bukan kerana Najib tidak boleh melunaskan denda RM50 juta tetapi mahu menunjukkan bahawa mereka menghargai budi dan jasa mantan Perdana Menteri itu.

Ends.