IPOH: Lovely Sabana Augustine, 20, yang mendapat perhatian media, termasuk media sosial berikutan dilema kewangan baru-baru ini, terharu berjaya menjejakkan kaki
je Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, semalam.
Lovely yang mencatat keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 di Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat ditemani ibunya, Mek Kenui a/p Eh Puang, 56, seorang pekerja pembersihan bersama dua ahli abangnya, yang bekerja di premis makanan di Johor.
Dia yang mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah kira-kira 8. 30 pagi melahirkan rasa gembira apabila akhirnya dapat mendaftar sebagai pelajar UPSI walaupun pada mulanya berdepan masalah kewangan.
“Saya berasa gembira dan berharap dapat belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita sebagai seorang pendidik pada suatu hari nanti demi mengubah hidup keluarga,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak UPSI, hari ini.
Anak bongsu dari empat beradik itu berkata dia mendapat panggilan dua temuduga untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pendidikan Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral, namun rezekinya berjaya ditawarkan pengajian Pendidikan Moral.
“Namun saya terima dengan hati terbuka dan berazam menunaikan harapan keluarga, lagi pun saya adalah anak pertama dalam keluarga yang berjaya melangkah ke universiti,” ujarnya.
Mendiang bapanya, Augustine Sandalun seorang anggota tentera di Kem Lok Kawi, Sabah,
berketurunan Kadazan berasal dari Papar, Sabah meninggal dunia pada 10 November 2017 kerana serangan angin ahmar ketika usia Lovely 11 tahun.
“Saya terharu dan berterima kasih kepada semua pihak atas sumbangan yang diberikan kepada saya. Semoga kebaikan anda dibalas dengan keberkatan.
“Saya mungkin tidak mampu untuk membalas jasa kalian semua. Saya hanya manusia biasa sekiranya suatu hari jatuh atau tidak dapat mencapai semuanya doakanlah saya kerana ada hari di atas ada hari di bawah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin yang turut menyantuni Lovely dan keluarganya berharap pelajar baharu itu bergiat aktif dan memperlihatkan bakat sepanjang pengajian selain mengejar kecemerlangan akademik.
“UPSI hari ini bukan lagi seperti puluhan tahun dahulu, malah ramai pelajar melakar sejarah mencipta kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa,” tambahnya.
Menurutnya, UPSI memiliki pelbagai kemudahan dan suasana pembelajaran yang kondusif serta selesa yang boleh dimanfaatkan oleh Lovely.
Ends.





